Tuesday, February 21, 2012

7 Petua Pandai Bahasa Inggeris

 
Pembuka kata
Bahasa Inggeris boleh jadi satu subjek yang sangat ditakuti di sekolah. Menurut pengalaman dan pemerhatian saya di sekolah, di tuisyen dan dalam program-program yang saya pernah jalankan untuk pelajar, subjek Bahasa Inggeris adalah antara subjek yang paling ditakuti, digeruni malah dibenci. Mengapa ini berlaku?
Jika anda seorang pelajar, cuba tanya diri anda, adakah anda suka subjek Bahasa Inggeris? Jika anda seorang pekerja atau usahawan, adakah anda selesa menggunakan Bahasa Inggeris?
Jika anda sudah biasa menggunakan Bahasa Inggeris di rumah, tentulah subjek ini bukan satu subjek yang susah bagi anda. Namun, jika tidak ada langsung sesiapa yang pandai berbahasa Inggeris di rumah mahupun di kampung anda, tentu subjek ini begitu mencabar bukan?
Tidak perlu saya terangkan apakah kelebihannya jika anda boleh menguasai Bahasa Inggeris dan mampu bertutur dengan lancar dalam bahasa ini. Kita akan terus bincangkan bagaimanakah caranya anda boleh memajukan tahap kemahiran anda berbahasa Inggeris ini.
Sebelum itu, satu perkara yang ingin saya kongsikan bersama anda ialah, sedar atau tidak, jika seseorang itu lemah dalam subjek Bahasa Inggeris di sekolah rendah, dia akan terus lemah hingga masuk ke sekolah menengah, kolej mahupun universiti. Pelik bukan? Benar, bukan semua pelajar begini tetapi majoritinya begitu. Bagi yang berjaya keluar dari kepompong masalah lemah subjek Bahasa Inggeris, pasti ada sesuatu yang telah mereka berjaya lakukan hingga mereka berubah daripada lemah subjek Bahasa Inggeris kepada hebat dan boleh bertutur dengan lancar dalam subjek tersebut.
Jadi, dalam topik 7 petua pandai Bahasa Inggeris ini, saya akan kongsikan tips dan teknik yang digunakan oleh pelajar-pelajar yang berjaya memajukan pencapaian mereka dalam subjek Bahasa Inggeris. Mahukah anda tahu petua-petua  dan tips-tips ini semua? Kita mulakannya esok. Selamat membaca.

 

 
Petua 1
Mari kita mulakan dengan petua yang pertama. Petuanya ialah ‘kegagalan atau kelemahan anda pada masa yang lalu bukanlah petunjuk kepada kebolehan diri anda’. Bagi saya, jika anda mahu memajukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris anda, petua pertama ini adalah petua yang paling penting. Mengapa?
Saya percaya, halangan utama untuk menguasai subjek Bahasa Inggeris bermula di dalam minda anda. Jika selama ini anda lemah dalam subjek ini, selalu gagal dalam peperiksaan atau mendapat gred yang tidak memuaskan, selalu diketawakan apabila berbahasa Inggeris dan selalu merasa tertekan apabila berada di dalam kelas Bahasa Inggeris, anda akan hadapi kesukaran untuk menguasainya.
Selalunya, jika tahap penguasaan bahasa Inggeris anda lemah, anda pasti ada masalah keyakinan diri untuk mempelajari subjek ini. Anda juga akan hilang keinginan untuk mempelajarinya kerana anda percaya bahawa anda memang tidak berbakat dan tidak mungkin menguasainya. Satu berita baik untuk anda, seperti yang saya katakan pada awal petua ini, kegagalan yang lepas bukanlah kebolehan sebenar anda. Menurut satu kajian, otak manusia mempunyai kebolehan untuk mempelajari 12 bahasa tanpa sebarang masalah. Masalahnya cuma terletak pada minda di mana anda mungkin selalu memandang rendah pada kebolehan diri sendiri.
Begini. Mulai hari ini, apabila anda mahu belajar Bahasa Inggeris, lupakan kegagalan anda yang lalu. Bayangkan suatu ketika pada masa akan datang. Bayangkan anda sudah biasa bertutur di dalam Bahasa Inggeris. Bayangkan anda sedang berbual-bual dalam bahasa Inggeris dengan beberapa pelancong daripada Eropah. Rasakan betapa seronoknya apabila anda dapat bertutur dalam bahasa ini dengan begitu lancar dan mudah.
Mulai hari ini, apabila anda mahu membaca sesuatu dalam bahasa Inggeris, bayangkan dahulu yang anda memang sudah biasa menggunakan bahasa ini dalam kehidupan seharian anda.
Mulai hari ini, apabila anda berdiri di hadapan cermin, cuba senyum dan bayangkan yang anda sedang bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan lancar. Anda tidak perlu menyebut apa-apa langsung. Anda cuma perlu senyum, jangan berkata apa-apa dan bayangkan yang anda sedang berbicara dalam bahasa Inggeris.
Bunyinya mungkin agak pelik tetapi jika anda lakukan beberapa kali dengan bersungguh-sungguh, anda akan mula rasa keyakinan diri anda meningkat. Apabila keyakinan diri ini meningkat, akan timbul keinginan dalam diri anda untuk terus berusaha memajukan tahap penguasaan bahasa Inggeris anda.
Selamat mencuba.

 

 
Petua 2
Untuk petua yang kedua, cuba anda lihat pekerja-pekerja asing yang bekerja di Malaysia. Adakah mereka masuk ke kelas belajar bahasa Melayu? Adakah mereka membaca buku-buku bahasa Melayu? Tidak bukan?
Kalau ada pun mungkin sedikit sahaja jumlahnya. Tetapi bagaimana mereka boleh bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik dan lancar? Satu petuanya ialah dengan menguasai perbendaharaan kata (Vocabulary).
Jika anda rasa anda tidak pandai bahasa Inggeris, besar kemungkinan anda mempunyai perbendaharaan kata bahasa Inggeris yang kecil. Ini bermaksud, jika anda mahu mengucapkan “saya mahu makan nasi” dalam bahasa Inggeris, anda tidak tahu apa perkataan saya, apa perkataan mahu, apa perkataan makan dan apa perkataan nasi dalam bahasa Inggeris.
Jadi, anda tidak boleh mengucapkannya. Percaya atau tidak, ini adalah sebab terbesar mengapa ramai orang tidak dapat menguasai sesuatu bahasa.
Jadi, setelah anda tahu petua ini iaitu jika anda mahu menguasai bahasa Inggeris, anda perlu menguasai perbendaharaan kata, apa yang patut anda lakukan? Baiklah. Ada beberapa aktiviti yang boleh saya cadangkan untuk anda menambahkan perbendaharaan kata bahasa Inggeris anda.
Langkah pertama, anda perlu tahu dahulu berapa banyak agaknya perkataan bahasa Inggeris yang anda tahu. Ambil sekeping kertas atau satu buku tulis dan bersedia untuk menulis. Tulis tajuk ini, “Things that I can see in a classroom”, benda-benda yang saya boleh lihat di dalam bilik darjah.
Di atas kertas itu, tulis sebanyak mungkin benda, perbuatan atau nama dalam bahasa Inggeris yang anda tahu dan yang anda boleh lihat dalam sesebuah bilik darjah. Contohnya dalam bilik darjah ada papan hitam dan kerusi, jadi anda tulis ‘black board’, ‘chair’. Tulis sebanyak mungkin. Anda juga boleh menulis kata kerja contohnya anda lihat ada pelajar sedang menulis. Jadi anda tulis ‘write’.
Uji diri anda sebanyak manakah anda boleh tulis perkataaan bahasa Inggeris ini. Saya cadangkan buat permulaan letakkan minimum 20 benda. Jadi, tulis nombor 1 sampai 20 dan mula menulis semua perkataan bahasa Ingeris yang anda tahu yang anda boleh lihat di dalam bilik darjah.
Jika ini mudah bagi anda, ia bermakna perbendaharaan kata anda agak baik. Tambahkan lagi jumlah perkataan daripada 20 menjadi 40. Ia akan membuat anda berfikir dengan lebih kuat lagi untuk mengingat perkataan-perkataan yang anda tahu.
Selepas itu, anda boleh tukar kepada situasi lain pula. Tukarkan ‘classroom’ atau bilik darjah itu kepada ‘playing field’, ’supermarket’, ’swimming pool’, ‘office’ dan sebagainya. Semakin banyak perkataan yang anda tahu melalui aktiviti ini, anda akan jadi lebih bersemangat dan yakin.
Anda boleh rujuk kamus untuk menambahkan jumlah perkataan yang anda tahu. Namun, cuba buat dulu aktiviti ini tanpa melihat kamus. Setelah selesai, baru rujuk kamus dan tambah senarai perkataan yang anda tahu.
Esok saya akan berikan lagi aktiviti lain untuk menambahkan perbendaharaan kata.

 

 
Petua 2.1
Seperti yang saya nyatakan semalam, untuk menguasai bahasa Inggeris, anda mesti menguasai perbendaharaan katanya. Anda mesti tahu apa perkataan-perkataan berkenaan yang anda mahu sebut.
Satu cara paling cepat untuk anda menghafal sebanyak mungkin perbendaharaan kata ialah dengan menulis maksud-maksud perkataan bahasa Inggeris ke dalam satu buku khas.
Begini. Semasa saya membuat persediaan untuk belajar ke United Kingdom di PP ITM Shah Alam pada tahun 1994-1996, tahap penguasaan bahasa Inggeris saya masih agak lemah. Saya sebenarnya lebih cemerlang dalam subjek Bahasa Arab semasa di tingkatan lima.
Jadi, saya fikir semula apa yang menyebabkan saya dapat menguasai bahasa Arab lebih cepat. Caranya ialah saya ada satu buku khas yang saya tulis maksud-maksud perkataan bahasa Arab. Bagaimana cara menulisnya?
Katakan anda membaca apa-apa bahan bacaan dalam bahasa Inggeris, anda mungkin akan terjumpa mana-mana perkataan yang anda tidak faham. Apa patut anda lakukan? Ya, rujuk kamus. Selalunya, apa yang pelajar lakukan ialah mereka akan tulis maksud perkataan tersebut di atas bahan bacaan tadi.
Maksudnya, jika mereka ada buku cerita bahasa Inggeris, buku itu akan dipenuhi dengan tulisan-tulisan maksud perkataan yang mereka tidak faham. Cara ini tidak berkesan untuk membuat anda hafal perkataan bahasa Inggeris dengan cepat. Mengapa?
Pertama, buku atau bahan bacaan itu akan hilang dan tidak selalu bersama anda. Kedua, apabila maksudnya sudah ada di situ, anda tidak akan mengeluarkan sebarang usaha untuk mengingat maksud tersebut. Anda akan hanya bergantung kepada buku yang sudah ditulis terjemahannya. Jadi, hentikan tabiat begini.
Ini cara yang betul. Ambil satu buku khas, jika boleh, buku berkulit tebal supaya ia lebih tahan. Setiap kali anda jumpa perkataan yang anda tidak tahu maksudnya, rujuk kamus dan tuliskan di dalam buku khas ini tadi. Tulis
  1. Perkataan itu
  2. Maksudnya (menggunakan bahasa inggeris atau bahasa Melayu)
  3. Contoh dalam ayat. (Salin satu contoh ayat. Tidak adagunanya tahu maksud sesuatu perkataan tetapi tidak tahu bagaimana cara menggunakannya.)
Langkah ketiga itu penting. Anda perlu tahu bagaimana ia digunakan dalam ayat. Contohnya, katakan anda orang asing yang sedang belajar bahasa Melayu. Kemudian anda terjumpa perkataan ‘cekik darah’ dan anda tahu maksudnya iaitu mengenakan harga yang terlau tinggi hingga menganiayai orang lain.
Jadi anda buat ayat begini, “Ali cekik darah orang kampung kerana meletakkan harga RM7 bagi sekilo gula”. Adakah betul ayat itu? Tidak bukan? Ayat yang sepatutnya,”Ali dikatakan cekik darah kerana meletakkan harga RM7 bagi sekilo gula.
Praktikkan teknik ini. Jika ia sukar, fikir kembali, anda mahu menguasai bahasa ini atau tidak?

 

 
Petua 2.2
Semalam saya ada ceritakan bagaimana anda boleh kuasai bahasa Inggeris dengan mempunyai satu buku khas perbendaharaan kata. Bolehkah anda lakukannya? Untuk menjayakan usaha memiliki buku khas perbendaharaan kata itu, anda perlu baca tips seterusnya ini. Tips ini berbunyi, anda perlu ‘jatuh cinta dengan KAMUS’.
Mengapa jatuh cinta? Kamus adalah penghubung utama antara anda dengan bahasa Inggeris. Bagi saya, jika anda sedang belajar bahasa Inggeris, tanpa kamus, ia seolah-olah anda sedang belajar menunggang basikal tanpa menggunakan basikal.
Pelik bunyinya kan? Tanpa kamus, anda mungkin boleh kuasai bahasa inggeris tetapi ia pasti sukar dan memakan masa yang agak lama.
Menurut pemerhatian saya semasa saya mengajar subjek Sains, Matematik atau Bahasa Inggeris untuk pelajar di peringkat PMR, lebih separuh pelajar saya tidak memiliki kamus. Alasan biasa yang diberikan ialah mereka tidak ada duit untuk membeli kamus. Simpati juga kita dengar bukan?
Tetapi yang peliknya mereka ini semua masing-masing ada handphone dan selalu menghantar sms setiap masa. Saya tanya mereka berapa banyak prepaid handphone sebulan, ada yang kata RM10, 20 dan ada yang mencecah RM50. Terkejut bercampur geram juga saya jadinya kerana sebuah kamus ringkas boleh didapati dengan harga lebih kurang RM11 sahaja.
Mulai hari ini, jika anda belum ada kamus, cari jalan untuk memilikinya. Jika anda sudah milikinya, cari jalan untuk selalu gunakannya, bukan dijadikan perhiasan untuk mengumpul habuk di dalam bilik anda.
Satu tips lagi, pelajari cara menggunakan kamus dengan cepat.
  1. Belajar bagaimana cara mencari sesuatu perkataan dengan cepat. Contohnya jika anda cari maksud perkataan ‘Break‘, cuba lihat berapa lama anda ambil masa untuk mencarinya. Bolehkah anda mencarinya dalam masa kurang 5 saat? Anda pasti boleh jika anda cuba.
  2.  Cari sebuah kamus sekarang. Buka satu halaman. Jika anda lihat dibahagian atas sebelah kanan (seperti nombor (1) dalam rajah) anda akan lihat 2 perkataan. Contohnya, jika saya lihat kamus saya muka surat 98 (Kamus ini saya beli pada 21 Januari 1990, tingkatan 2 ), tertulis perkataan ’bout/box’. Untuk pengetahuan anda, perkataan ’bout’ adalah perkataan pertama yang anda akan jumpa di muka surat tersebut dan perkataan ‘box’ adalah perkataan terakhir. Betul kan? Sama juga pada muka surat kanan (seperti rajah 2), anda akan lihat perkara sama.
Jadi, jika anda mencari perkataan ‘Break’ dan terbuka pada muka surat ’bout/box, adakah anda perlu buka muka surat seterusnya atau muka surat sebelumnya? Cara fikirnya begini, perkataan break bermula dengan BR , tetapi muka surat itu BO , O dan R, yang mana datang dahulu dalam senarai ABCDEFG……..?
(hehe, anda kena nyanyikan semula lagu ABC yang anda hafal masa tadika?). Tentulah O dahulu kan? Jadi, anda perlu buka muka surat seterusnya, bukan ke belakang.
Jika anda tidak tahu teknik mudah ini, anda akan tercari-cari perkataan itu diseluruh kamus anda. Anda juga mungkin memakan masa lebih lama kerana anda perlu buka muka surat kamus anda satu persatu. Selamat mencuba
 

 

 
Petua 3
Petua ketiga ialah anda perlu kuasai ‘English Grammar’ sedikit demi sedikit. Satu perkara yang amat dibimbangi dan ditakuti oleh orang ramai mengenai apa-apa bahasa ialah tatabahasanya. Tanpa tatabahasa yang betul, percakapan anda akan jadi tunggang langgang.
Bayang kalau ada seorang yang kelihatan seperti pelancong datang berjumpa anda dan berkata “Boleh saya bagitau awak macam mana Shah Alam nak pergi Kuala Lumpur dari?” Tentu anda akan tersenyum bukan? Kalau tidak tersenyum pun, muka anda akan berkerut kerana cuba memikirkan apa yang pelancong ini cuba katakan.
Saya faham, jika anda belum kuasai bahasa Inggeris, anda akan katakan grammar adalah sangat sukar. Sudah bertahun-tahun anda cuba pelajarinya tapi masih gagal.
Namun, anda kena ingat, selama ini anda rasa susah mungkin kerana anda belum pelajari petua nombor satu. Setelah anda pelajari petua satu dan dua, mungkin anda akan rasa grammar tidak begitu susah seperti yang anda fikirkan selama ini.
Ini satu cadangan anda bagaimana anda boleh kuasai grammar dengan lebih cepat dan lebih yakin. Mula-mula, cari buku grammar pelajar tahun 2 dan tahun 3 (sekolah rendah). Jika anda lihat buku grammar mereka, apa yang diajar adalah sangat asas dan mudah difahami. Jadi, belajar grammar dan kuasai grammar anda melalui buku-buku ini dahulu. Ada tiga kesan baik jika anda lakukan ini.
Pertama, apabila anda buka buku pelajar tahun 2 dan 3, anda akan fikir, “alah, buku budak sekolah rendah, takkanlah aku tak tahu.” Bila anda terfikir begini, anda akan rasa lebih yakin dan apabila anda lebih yakin, lebih mudah anda belajar.
Kedua, anda akan benar-benar lihat bahawa apa yang diajar dalam buku itu semua sanat mudah difahami kerana ia ditulis untuk pelajar sekolah rendah. Ia tidak menggunakan contoh-contoh ayat yang susah. Jadi, anda akan dapat kuasai asas grammar ini dengan contoh-contoh yang mudah.
Akhir sekali, anda tidak perlu rasa malu apabila perlu belajar asas semula. Apabila ada sesiapa melihat anda membaca buku pelajar sekolah rendah tahun 2 dan 3, kata sahaja kepada mereka, “Oh…saya tengah baca ni untuk ajar adik /anak saudara/adik sepupu/ anak jiran saya….” sambil menunjukkan muka ‘confident’.
Selamat mencuba.
 

 

 
Petua 4
Petua yang keempat untuk cepat pandai Bahasa Inggeris ialah ‘Berfikir dalam Bahasa Inggeris’. Apakah maksudnya?
Begini. Apabila anda sedang fikirkan sesuatu, anda selalunya berfikir dalam bahasa Ibunda anda sendiri iaitu bahasa Malaysia bagi kita orang Malaysia. Namun, jika anda sedang belajar Bahasa Inggeris dan mahu cepat pandai, anda perlu mula belajar berfikir dalam bahasa ini.
Contohnya, apabila anda melihat sekeping gambar seorang budak lelaki sedang menangis, apakah yang akan anda fikirkan? Anda mungkin terfikir, “kenapa budak ni menangis?”, “Siapa buat budak ni menangis?”, “Budak ni sakit ke?” dan bermacam-macam lagi yang boleh anda fikirkan dalam bahasa Ibunda anda.
Namun, apabila anda mahu cepat pandai Bahasa Inggeris, fikir dalam Bahasa Inggeris. Contohnya, “Why is this boy crying?”, What is happening here?”, Where is his parents?”, “what is he doing here?” dan bermacam-macam lagi.
Anda mungkin kata, “Macam mana nak buat, saya tak tahu Bahasa Inggeris, macam mana nak fikir dalam Bahasa Inggeris?”. Ya, anda mungkin belum fasih lagi bahasa ini dan apabila anda cuba fikir, mungkin ayat anda tidak betul.
Anda tidak perlu risau. Apa yang bagusnya ialah, jika ayat anda salah semasa anda berfikir, tidak ada sesiapa yang tahu dan tidak ada sesiapa yang akan ketawakan anda. Jadi anda boleh berlakon seolah-olah anda sedang bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan lancar.
Apabila anda mula berfikir begini, anda juga akan mula peka kepada bagaimana cara melafazkan sesuatu dalam Bahasa Inggeris.  Katakan suatu hari, anda sedang berdiri di dalam bas bersama kawan anda dan kawan anda menyuruh anda duduk kerana ada kerusi kosong.
Anda mahu katakan “Saya tidak terasa pun hendak duduk, awak je lah duduk.” Tetapi anda tidak tahu bagaimana cara menyebutnya. Anda cuba fikirkan ayatnya tetapi masih tidak dapat bagaimana cara menyebutnya.
Kemudian, apabila anda sedang menonton cerita dalam bahasa Inggeris, ada situasi yang sama seperti di dalam bas tadi. Anda lihat, watak dalam cerita itu berkata “I don’t feel like sitting, why don’t you sit.”. Oleh kerana anda sudah berfikir dalam Bahasa Inggeris tadi, anda akan sedar akan ayat ini dan anda pun boleh menggunakannya.
Anda perlu, salah satu sebab mengapa seseorang sukar menguasai Bahasa Inggeris ialah dia asyik berfikir dalam bahasa Ibundanya. Dia asyik berfikir dalam bahasa Ibunda dan cuba menukarkannya kepada Bahasa Inggeris. Inilah yang menyebabkan proses pembelajaran menjadi sukar.
Jadi mulai hari ini, cuba berfikir dalam Bahasa Inggeris. Jangan risau jika ayat itu salah. Ayat yang salah itu akan betul juga nanti. Selamat mencuba.

 

 
Petua 5
Petua kelima untuk pandai Bahasa Inggeris dapat menggabungkan petua 2, 3 dan 4. Petuanya ialah anda perlu mula menulis jurnal atau diari dalam Bahasa Inggeris setiap hari.
Hmm… jika anda seorang lelaki, mungkin anda sedang merungut atau tidak berpuas hati dengan petua ini. Bukankah menulis diari atau jurnal adalah sesuatu yang suka dilakukan oleh wanita? Bukankah memalukan bagi seorang lelaki menulis diari?
 Sebenarnya tidak memalukan. Malah, jika anda baca kisah orang-orang yang berjaya, mereka ada membuat catatan mengenai perasaan, pendapat atau cita-cita mereka ke dalam diari. Diari ini pula mereka tulis hampir setiap hari. Jadi, jangan risau. Cari satu buku khas. Jika boleh, buku ini adalah buku yang berbeza dengan buku khas anda untuk perbendaharaan kata.
Buku ini anda perlu jaga betul-betul kerana ia bersifat agak peribadi. Tentu anda tidak mahu orang lain baca apa yang bermain di fikiran anda bukan? Jika boleh, dapatkan buku diari yang biasanya boleh didapati di mana-mana kedai buku kerana ia lengkap dengan tarikh. Ini akan memudahkan anda. Apa yang perlu anda tulis? Mudah sahaja.
Anda boleh tulis apa sahaja yang anda mahu. Anda boleh tulis tentang perlawanan bola sepak yang anda tonton petang tadi. Anda boleh tulis tentang aktiviti membeli-belah anda bersama keluarga di TESCO, Carrefour atau Jaya Jusco. Anda juga boleh tulis tentang apa yang berlaku di sekolah hari ini. Tulis apa sahaja asalkan ia di dalam Bahasa Inggeris.
Seperti biasa, jangan terlalu risau jika tatabahasa atau struktur ayat anda salah. Lebih banyak anda tulis, anda akan jadi lebih peka tentang cara menulis di dalam Bahasa Inggeris. Anda akan jadi lebih biasa dengan perkataan-perkataan Bahasa Inggeris dan akhirnya anda akan jadi lebih yakin dengan Bahasa Inggeris.
Jika anda ingin tahu, petua ini adalah antara teknik utama yang digunakan di pusat-pusat pengajian yang menawarkan kursus intensif Bahasa Inggeris. Saya pelajari teknik ini semasa menghadiri kursus 6 bulan Bahasa Inggeris sebelum melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.
Saya dapati teknik ini sangat berkesan dan sangat membantu saya dan kawan-kawan saya yang masih agak lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Saya percaya ia akan dapat membantu anda juga. Satu cadangan yang lebih baik, anda minta bantuan guru Bahasa Inggeris anda untuk memeriksa diari anda ini. Hmmm…sekali lagi anda pasti akan rasa lebih terkejut (lelaki dan perempuan juga)  
Takkanlah anda mahu berikan diari anda dibaca oleh guru Bahasa Inggeris anda?! Tidak masuk akal bukan? Jangan bimbang. Jika anda bercadang mahu memberikan diari itu untuk diperiksa oleh guru Bahasa Inggeris supaya dia dapat memberi teguran dan membantu anda memajukan lagi cara anda menulis, elakkan menulis sesuatu yang bersifat terlalu peribadi. Elakkan juga menulis sesuatu yang anda mahu rahsiakan. Anda boleh tulis sesuatu yang mahu dirahsiakan di tempat lain.
Jadi, saya ucapkan selamat menulis.   

 

 
Petua 6
Petua yang keenam untuk cepat pandai Bahasa Inggeris ialah anda perlu cari kawan-kawan yang Pandai Bahasa Inggeris dan kawan-kawan yang Mahu Pandai Bahasa Inggeris. Mengapa?
Jika anda berkawan baik dengan seseorang yang Pandai Bahasa Inggeris,
  • anda akan terikut dengan cara pemikirannya yang percaya bahawa subjek Bahasa Inggeris adalah mudah untuk dikuasai. Apabila anda turut berfikir begini, anda jadi lebih yakin dan lebih mudah untuk memajukan tahap penguasaan anda.
  • Anda dapat belajar daripada kawan anda ini. Apabila ada sesuatu yang anda tidak faham, anda boleh bertanya kepadanya. Apabila dia menerangkannya kepada anda, anda akan rasa lebih mudah faham. Secara umumnya, kita lebih mudah faham apa yang diterangkan oleh rakan sebaya kerana rakan sebaya bercakap menggunakan bahasa dan tahap pemikiran yang agak sama. Jadi anda akan lebih mudah faham dan pandai.
Jika anda berkawan baik dengan seseorang yang Mahu Pandai Bahasa Inggeris,
  • anda akan lihat kesungguhan kawan anda ini untuk maju. Anda akan lihat dia bersemangat untuk mencari jalan memajukan tahap penguasaannya. Akibatnya, anda akan terikut-ikut dengan kesungguhan ini.
  • Anda dapat belajar bersama-sama dan sama-sama mencari jalan bagaimana untuk memajukan penguasaan Bahasa Inggeris anda dengan cepat.
  • Anda tidak rasa berseorangan. Selalunya, pelajar yang lemah Bahasa Inggeris merasa dipinggirkan oleh pelajar yang lebih pandai. Jadi, mereka terus memencilkan diri dan tidak mahu belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Dengan adanya kawan yang mahu pandai ini, pelajar ini tidak akan rasa begitu.
Mulai hari ini, cari kawan seperti yang saya terangkan di atas. Luangkan masa dengan mereka dan berlatih bercakap dan menulis dalam Bahasa Inggeris. Lebih banyak anda berlatih, lebih banyak anda mencuba, lebih cepat anda pandai Bahasa Inggeris. Selamat mencuba.
.


 

 
Petua 7
Petua pandai Bahasa Inggeris yang ketujuh dan yang terakhir ialah ‘Hafal ayat-ayat dalam Bahasa Inggeris untuk kegunaan harian’. Maksudnya begini, apa yang membuat bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris sukar ialah anda tidak tahu bagaimana cara untuk menggambarkan sesuatu dalam Bahasa Inggeris.
Contohnya kalau anda mahu kata ’saya rasa tidak sihat’ dan tidak tahu apa ayat yang biasa digunakan untuk menggambarkan situasi ini, mungkin sukar jadinya. Apa yang anda akan kata untuk menggambarkan ayat tadi?
Adakah anda akan kata ‘I am not healthy’? Atau “I feel not healthy’? Hmmm… yang mana satu ye? Mungkin banyak cara yang boleh digunakan untuk menggambarkan ayat ’saya rasa tidak sihat’ tetapi ayat yang biasa saya gunakan ialah ‘I am not feeling well’. Pernahkah anda dengar sesiapa berkata begitu?
Untuk pengetahuan anda, saya sendiri selalu merasa sukar untuk menggambarkan sesuatu di dalam Bahasa Inggeris suatu masa dahulu. Ini kerana saya cuba menukarkan ayat Bahasa Melayu kepada ayat Bahasa Inggeris. Jadi, kalau perkataan ‘rasa’ saya akan tukar kepada ’feel’, kalau perkataan ’sihat’ saya tukar kepada perkataan ‘healthy’. Apabila digabungkan menjadi satu ayat, ia tidak begitu tepat bukan?
Petua terakhir ini menyuruh anda menghafal ungkapan-ungkapan dan eskpresi dalam Bahasa Inggeris. Dalam buku khas vocabulary anda yang anda sudah sediakan, tulis juga ungkapan-ungkapan yang anda tahu.
Mula kumpul dan hafal ungkapan-ungkapan yang anda boleh gunakan setiap hari. Contohnya, apa yang anda perlu kata untuk bertanya tentang waktu, “What time is it?”, untuk memberitahu yang anda rasa begitu gembira, “I feel great!” dan sebagainya.
Mulai hari ini, jika anda mahu gambarkan sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana cara melakukannya, tanya seseorang yang pandai Bahasa Ingeris. Lebih baik lagi, tanya guru Bahasa Inggeris anda. Salin apa yang anda baru belajar itu dan mula praktikkan.
Setiap kali anda rasa tidak sihat dan mahu memberitahu perkara itu kepada kawan anda, kata “I am not feeling well today”. Katakannya dengan yakin.
Bayangkan anda seperti seorang mat salleh yang sedang menuturkan kata-kata tersebut (Jangan risau, anda tidak akan jadi mat salleh betul-betul :)  ) Cara paling mudah untuk menghafal sesuatu ialah dengan sentiasa mengulangnya. Gunakan ayat-ayat itu apabila sesuai.
Selamat mencuba. .


 

 
Kesimpulan
Alhamdulillah, saya telah berjaya menulis 7 petua untuk cepat pandai dalam Bahasa Inggeris untuk anda dan untuk diri saya sendiri. Mungkin ada diantara anda yang terfikir, pentingkah petua ini semua?
Hmmm…. Di dalam dunia ini, anda boleh pelajari apa sahaja. Tetapi anda ada pilihan sama ada mahu belajar dengan cepat atau mahu belajar dengan lambat.
Belajar dengan lambat ialah apabila anda tidak mengikut panduan yang diberikan. Anda gunakan teknik cuba dan gagal. Maksudnya, anda terus mencuba hingga anda dapat cara yang betul. Sayangnya, cara ini tidak cukup pantas dan kadangkala boleh membuat anda putus-asa.
Belajar dengan cepat ialah belajar dengan menggunakan teknik dan panduan dan betul. 7 Petua ini ialah teknik dan panduan. Jika anda lakukan betul-betul, jangan terkejut jika anda boleh bertutur dengan fasih dan menulis dalam Bahasa Inggeris dengan sangat baik dalam masa kurang 6 bulan. Jadi, sekali lagi saya tuliskan 7 petua ini untuk anda:
  • Petua 1 - Kegagalan atau kelemahan anda pada masa yang lalu bukanlah petunjuk kepada kebolehan diri anda.
  • Petua 2 - Kuasai perbendaharaan kata.
  • Petua 3 - Kuasai Tatabahasa Bahasa Inggeris.
  • Petua 4 - Fikir dalam Bahasa Inggeris.
  • Petua 5 - Tulis diari dalam Bahasa Inggeris.
  • Petua 6 - Cari kawan pandai Bahasa Inggeris dan kawan yang mahu pandai Bahasa Inggeris.
  • Petua 7 - Hafal ayat-ayat dalam Bahasa Inggeris untuk kegunaan harian.
Semoga petua ini dapat membantu dan memberi manfaat kepada anda. Saya ucapkan selamat berjaya! .

© All Rights Reserved 2007. www.OsmanAffan.com

1 comment:

Unknown said...

terima kasih memberikan petua ini.
boleh saya praktikan...

About Norashady bin Mohd Noor

Norashady bin Mohd Noor was born on March 16th 1980 in Kampung Keladang, Salor in Kelantan and is happily married to Nor Farah Wahida binti Mohd Noor. They are both a dotting parent to Wisam Wafiy, Maryam Raeesa and Ameena Sabrina.

Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir was born on March 22nd 1962 in Pangkor Island in Perak and is happily married to Datin Seri Saripah Zulkifli. They are both a dotting parent to Husna, Huda, Syifa, Munir and Mukhlis. - See more at: http://zambryperak.com/#sthash.f7x451vs.dpuf
Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir was born on March 22nd 1962 in Pangkor Island in Perak and is happily married to Datin Seri Saripah Zulkifli. They are both a dotting parent to Husna, Huda, Syifa, Munir and Mukhlis. - See more at: http://zambryperak.com/#sthash.f7x451vs.dpuf
Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir was born on March 22nd 1962 in Pangkor Island in Perak and is happily married to Datin Seri Saripah Zulkifli. They are both a dotting parent to Husna, Huda, Syifa, Munir and Mukhlis. - See more at: http://zambryperak.com/#sthash.f7x451vs.dpuf