Thursday, April 02, 2009

The Power Of Love

Ke mana sahaja kita pergi kita pasti mendengar perkataan cinta, baik dalam akhbar, novel mahupun kata-kata. Ramai yang mengatakan bahawa cinta itu buta dan ramai juga yang menyatakan bahawa kita boleh buta kerana cinta. Mungkin benar mungkin tidak.

Pada pandangan ambo memang benar jika cinta yang hanya melihat dengan nafsu. Nafsu bagi pengamal meditasi super sedar bukanlah seperti yang digambarkan oleh kebanyakan, tetapi nafsu adalah sesuatu yang mempunyai skop kerja yang begitu luas.

Mungkin cinta itu tidak buta jika cinta dijadikan panduan untuk menyuluh hidup sekiranya memahami hakikat cinta. Kerana cintakan anak-anak maka kita tidak akan rela jika anak–anak kita tidak mempunyai masa depan yang cerah. Percintaan sedemikian akan memandu kita ke arah yang lebih positif serta melakukan apa sahaja termasuk berkorban atau memarahai anak-anak kita supaya dapat membentuk sebuah kehidupan yang bermakna. Jika ditanya adakah cinta itu sesuatu yang negatif, jawapan ambo tidak, kerana cinta yang tulus serta tidak dibayangi oleh tuntunan nafsu adalah satu energi yang begitu kuat. Dengan sebab itu ambo mengatakan meditasi super sedar membuktikan tentang kuasa serta kehebatan cinta agung yang begitu tulus.

Ambo seringkali dihujani dengan soalan bagaimana caranya untuk bercinta dengan Allah swt. Ramai sekali yang ingin bercinta dengan Allah swt hinggakan ramai yang tersilap langkah. Sebelum menjawab soalan sedemikian, ambo sering bertanya“adakah kamu pernah bercinta?” Ambo bertanya lagi “sewaktu kamu bercinta kira-kira berapa lama kamu bergayut di telefon?” ada yang menjawab dua jam bahkan ada yang mencapai lapan jam sama seperti orang bekerja lamanya, begitulah hebat penangan cinta. Jika kita bekerja lapan jam pasti kita akan berhenti makan, paling tidak kita mencuri sedikit waktu untuk melepaskan lelah. Namun mereka yang bercinta tidak dapat berbuat demikian kerana takut membazir waktu dalam berhubungan.

Ketika waktu generasi dahulu, bercinta menggunakan surat dan apabila membaca surat kiriman yang terambong, hati berbunga-bunga hingga terasa si dia yang dicintai berada di sisi serta tak kurang juga terdengar suaranya membaca surat yang dikirim. Dengan arus kemodenan, kaedah bercinta pun mula berubah, surat yang dulu rajin ditulis kemudian bertukar menjadi telefon. Jika dahulu boleh kita lihat mereka yang bercinta akan membawa segenggam duit syiling untuk dijadikan bekalan telefon… seringgit mungkin tidak cukup kerana nanti nak bercakap di telefon mengambil masa yang lama. Dahulu telefon-telefon awam didirikan di tepi jalan, dan ketika menggunakan telefon sering terganggu dengan bunyi kenderaan yang lalu lalang. Apa yang menghairankan ialah mereka yang bercinta menggunakan telefon awam boleh bercakap dengan si dia dalam apa keadaan pun samada bising dengan kenderaan yang bertali-arus atau panas terik mahupun hujan. Keadaan sekeliling tidak langsung mempengaruhi mereka kerana ketika itu apa yang penting ialah mendengar suara orang yang dicintai dan mengucapkan ucapan yang sering disebut ketika dahulu jiwang-jiwang.

Cuba anda renungkan kembali betapa hebatnya penangan cinta. Cinta yang dahulunya ditunjangi oleh surat, kemudian bertukar ke telefon awam dan rumah kini ditunjangi pula oleh satu wadah yang lebih efisyen iaitu telefon bimbit dan internet. Hubungan terjalin dengan percakapan atau mungkin juga dengan sms dan sekarang mms dan mungkin pada masa hadapan ianya lebih hebat lagi.

Hebat.. hebat … kuasa cinta membuatkan siapa sahaja yang mengalaminya menjadi hebat walaupun adakalanya pada mata orang lain ianya satu kelemahan dan merimaskan, tapi mereka tidak peduli kerana ungkapan “aku cinta pada mu” lebih menguasai diri. Yang dikatakan cinta itu buta ialah kerana pasangan yang bercinta tidak langsung melihat negativiti yang ada pada pasangan masing-masing.

Izinkan ambo mengambil contoh satu pasangan yang bercinta dan si lelaki tanpa pengetahuan si perempuan rupanya adalah seorang penagih dadah. Hal ini kemudiannya terhidu juga oleh si perempuan dan bukan dia sahaja yang dapat menghidunya tetapi kaum keluarganya juga dapat menghidu rahsia yang disimpan oleh si lelaki. Keluarga sebelah perempuan kemudian menasihatkan si perempuan tadi untuk memutuskan hubungan dengan si lelaki kerana pada pemerhatian mereka si lelaki adalah seorang penagih tegar.

Namun cinta menguasai segalanya, nasihat yang dicurahkah tidak langsung memberi kesan mahupun masuk ke telinga si perempuan kerana dia mempunyai keyakinan penuh terhadap pasangannya. Dia begitu yakin dengan teman lelakinya kerana dia mempercayai setiap apa yang yang dikatakan oleh teman lelakinya. Kata teman lelakinya ketagihan itu telah menjadi sejarah, dia tidak lagi menagih dadah walaupun pada hakikatnya dia masih lagi menagih. Pujuk rayu si lelaki itu termakan oleh si perempuan. Ambo berpendapat pujuk rayu itu tidak termakan oleh si perempuan tetapi wanita tersebut telah dikuasai oleh cinta dan jiwanya hanya mendengar kata-kata teman lelakinya. Sekali lagi hebatnya cinta…walaupun akhirnya cinta sedemikian merosakkan diri tetapi dengan pantas mereka menjawab cinta perlukan pengorbanan.

Itu lah cinta… begitu berkuasa, begitu hebat dan mampu mengubah apa sahaja kerana kekuatannya bukan tandingan manusia… lebih hebat dari nuclear… lebih halus dari sihir hingga begitu susah untuk mengubatnya.

Persoalannya, mengapa kita mampu bercinta dengan manusia tanpa disuruh–suruh dan mengapa kita begitu payah untuk bercinta dengan Allah swt. Manusia hanya berada dengan kita sewaktu kita jaga sedangkan Allah swt sentiasa bersama dengan kita. Bertahun lamanya ambo memohon kepadaNya agar dikurniakan kupasan yang mudah dalam memahami hakikat cinta. Kerana cinta ramai yang sesat, kerana cinta ramai yang ego dan kerana cinta ramai yang berpura-pura.

Rumusan ambo mengatakan bahawa Allah swt mengurniakan benih cinta dalam diri manusia terhadap manusia lain dan juga terhadap makhluk lain kerana Allah swt ingin mengajarkan kita bagaimana caranya untuk mencapai cintaNya. Setelah kita memahami rasa cinta itu dan mengetahui hakikat cinta itu, kita pasti mampu bercinta dengan Allah swt dengan jiwa yang luhur. Kita sering mengambil Islam itu sebagai apa yang ambo terjemahkan sebagai "ritual based religion”, dimana Islam itu hanya dikaitkan dengan ibadah khusus sahaja. Ambo berpandangan Islam itu melangkaui ritual based kerana Islam itu adalah tatacara hidup ataupun way of life yang perlu dibawa ke mana sahaja dan di mana sahaja seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw.

Untuk menjadikan Islam itu sebagai way of life perlu ada cinta. Pasangan yang bercinta akan memahami kehendak pasangan masing-masing dan kemudiannya akan mengikut jalan ataupun sikap salah seorang yang dominant di antara mereka. Begitu juga jika kita bercinta dengan Allah swt sudah pasti kita akan hidup dengan tatacara yang Allah swt sinarkan kepada kita.

Ambo ingin berkongsi pemahaman cinta serta jalan bercinta, ketika kita bercinta sesama insan kita akan mulakan dengan bercinta dan dari cinta lahirlah keyakinan kerana kita banyak melihat pembuktian cinta contohnya mengingati hari lahir, memberi hadiah, membantu ketika susah dan sebagainya. Dari keyakinan itu timbullah kepercayaan yang tidak berbelah bahagi. Itulah rantai cinta ynag kita bina apabila berhubungan denngan manusia, dari cinta datang yakin, dari yakin timbul percaya. Akan tetapi hal sebaliknya berlaku apabila kita bercinta dengan Allah swt. Kita mulakan dengan percaya dan dari percaya barulah menambah ilmu mencari yakin walaupun kita lupa yakin hanya akan datang dengan bukti dan ilmu itu sekadar panduan.

Bukti Allah cintakan kita terlalu banyak dan oleh kerana terlalu banyak, kita rambang mata dan dari rambang mata kita tidak perasan dan akhirnya kita buta lalu memutuskan bahawa setiap kejayaan itu berlaku hanya kerana usaha keras kita. Akibatnya kita terus mencari-cari bagaimana jalannya bercinta dengan Allah swt. Cinta kemudian difikirkan boleh dibuat-buat, namun kita lupa bahawa cinta itu perasaan dan perasaan tidak menipu. Walau sebanyak mana kita keluarkan kata-kata cinta tetapi jiwa masih bertuhankan nafsu maka tiada istilah cinta di situ.

Masalahnya di sini, aturan untuk cinta dengan Allah swt telah kita mulakan dengan percaya; walhal jika boleh ambo katakan, percaya itu tahapnya amat rendah. Ambo boleh jadi percaya dengan seseorang tetapi belum tentu ambo yakin dengannya apatah lagi cinta; tetapi jika ambo menyintai seseorang, sudah pasti ambo yakin dengannya bahkan setiap tuturkatanya menjadi azimat kerana ambo mempercayainya.

Mulai sekarang perbetulkanlah susun atur rantai hubungan cinta agar kita dapat merasai nilai cinta agung dan setiap perkara itu pasti mempunyai kunci. Di ruang yang terhad ambo tidak dapat berkongsi kuncinya apatah lagi pemahaman setiap individu itu berlainan diantara satu sama lain. Semoga dengan coretan ringkas ini anda dapat mengubah persepsi cinta Allah swt dan memulakan satu kehidupan yang dipenuhi dengan rasa cinta. InsyaAllah hidup kita akan lebih aman bahagia tanpa syak wasangka serta melihat setiap insan adalah makhluk Allah swt yang kita cintai dan rasa cinta akan melangkaui suku bangsa, agama, keturunan bahkan dengan makhluk lainnya seperti binatang dan tumbuhan.

Segala yang kita lihat dan sentuh akan terasa nilai kecintaan kita kepada Allah swt dan apabila disebut nama Allah swt yang dicintai lagi dirindui maka bergetarlah dada. Sama juga keadaannya jika seseorang menyebut nama pasangan anda pasti anda merasakan getaran cinta. Begitulah juga apabila nama Allah swt Tuhan yang Maha Menyintai disebut, bergetarlah dada meruntunlah sukma.

Kata bijak bistari cinta letaknya di hati, meskipun tersembunyi, namun getarannya jelas sekali. Ia mampu mempengaruhi fikiran sekaligus mengendalikan tindakan

No comments:

About Norashady bin Mohd Noor

Norashady bin Mohd Noor was born on March 16th 1980 in Kampung Keladang, Salor in Kelantan and is happily married to Nor Farah Wahida binti Mohd Noor. They are both a dotting parent to Wisam Wafiy, Maryam Raeesa and Ameena Sabrina.

Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir was born on March 22nd 1962 in Pangkor Island in Perak and is happily married to Datin Seri Saripah Zulkifli. They are both a dotting parent to Husna, Huda, Syifa, Munir and Mukhlis. - See more at: http://zambryperak.com/#sthash.f7x451vs.dpuf
Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir was born on March 22nd 1962 in Pangkor Island in Perak and is happily married to Datin Seri Saripah Zulkifli. They are both a dotting parent to Husna, Huda, Syifa, Munir and Mukhlis. - See more at: http://zambryperak.com/#sthash.f7x451vs.dpuf
Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir was born on March 22nd 1962 in Pangkor Island in Perak and is happily married to Datin Seri Saripah Zulkifli. They are both a dotting parent to Husna, Huda, Syifa, Munir and Mukhlis. - See more at: http://zambryperak.com/#sthash.f7x451vs.dpuf